Skip Navigation
 

INFO TUDUNG BAWAL



SEJARAH TUDUNG BAWAL ASLI ATAU TUDUNG BAWAL SATU

Ada yang bertanyakan saya tentang sejarah bila wujudnya tudung bawal ini, saya tidak dapat memberikan jawapan yang tepat. Cuma, seingat saya, kemunculan tudung bawal yang mula diminati ramai khususnya wanita Kelantan yang lebih ramai bertudung ketika itu bermula pada pertengahan tahun 80an. Ketika saya berusia 12 tahun, saya sudah mula belajar bertudung, dan mengakui betapa popularnya tudung bawal dikalangan wanita pantai timur ketika itu. Istimewanya tudung ini, ianya senang dibentuk di muka dan yang paling penting ia sangat cantik dipakai. Cuma, kemunculan tudung bawal ketika itu berbeza dengan tudung bawal zaman ini yang dihasilkan dengan pelbagai jenis, beraneka corak yang semestinya lebih menarik lagi kreatif.

Mungkin ramai yang tidak tahu, perkataan 'bawal' itu sebenarnya berasal daripada perkataan Perancis iaitu 'voile' atau disebut 'voil' yang bermaksud fabrik yang ringan, lembut dan kosong. Ia diperbuat daripada kain kapas, sutera, rayon atau wool. Perkataan ini kemudian di'Melayu'kan sebagai Bawal, mungkin kerana bunyinya hampir sama 'voile'. (Sumber daripada Anna Abdullah)

Tudung bawal pada awal tahun 90an sangat popular dengan corak jahitan manik bersambung atau berlabuci di bahagian tepi sahaja. Pada masa itu, saya belum tahu membezakan yang mana satu tudung bawal satu, tudung bawal dua atau tudung bawal tiga yang semestinya mempunyai kualiti fabrik yang berbeza-beza. Ketika itu, saya dan ibu hanya suka membeli tudung yang kelihatan cantik sahaja berdasarkan corak manik atau labuci tepinya. Tetapi, setelah setahun memakai aneka tahap tudung bawal tadi, barulah saya tahu betapa berkualitinya tudung bawal satu atau tudung bawal asli ini kerana biarpun sudah bertahun memakainya, fabriknya kelihatan masih baru dan tidak ada kesan berbulu halus sepertimana tudung bawal yang tidak asli. Tudung bawal satu juga dikenali sebagai Tudung Bawal Jepun. Tudung bawal korea adalah Tudung bawal tidak asli dan dikenali sebagai Tudung bawal dua.

Sejak dari itulah, saya dan ibu tidak akan membeli tudung bawal yang tidak asli lagi dan hanya membeli tudung bawal satu untuk dijadikan koleksi. Kami juga kurang berminat membeli tudung jenis lain kerana tidak pandai memakai tudung lain yang fabriknya terlalu lembut, sukar dibentuk elok dimuka dan sekaligus merosakkan bentuk tudung di muka apabila ditiup angin. Bukan apa, pakai tudung jenis lain yang terlalu lembut ini membuatkan kami asyik ingin memperbetulkannya dan menghadap cermin sepanjang masa kerana kurang keyakinan diri!


KENALI TUDUNG BAWAL ASLI
Tudung bawal satu juga dikenali sebagai Tudung Bawal Jepun. Tudung bawal korea adalah Tudung bawal tidak asli dan dikenali sebagai Tudung bawal dua.

Sekali pandang, tudung bawal satu atau asli ini kelihatan sama sahaja dengan tudung bawal dua atau tiga. Namun begitu, kita tetap boleh mengenali tudung bawal asli ini. Ianya paling jarang dari yang lain dan jika dipegang, terasa lebih lembut dan juga lebih nipis apabila dilipat. Oleh itu, kenapa anda harus membeli tudung bawal satu, semestinya kerana ia berkualiti dan paling penting tahan lama serta sentiasa nampak baru.


TUDUNG BAWAL SATU DAN GELARANNYA

Pernahkah anda mendengar atau memiliki tudung bawal satu yang mempunyai nama atau gelaran? Saya sendiri pelik, entah dari mana agaknya datangnya nama-nama tudung ini. Biasanya mereka meletakkan nama-nama artis popular. Mungkin ianya salah satu strategi penjual untuk menarik perhatian pelanggannya ataupun ia bertujuan memudahkan kita mengingati era fesyen dan corak tudung masa kini untuk setiap jenis keluaran terbaru. Satu ketika dahulu, saya pernah terdengar 'Tudung Wardina', 'Tudung Norjuma', 'Tudung Mawi', 'Tudung Mak Datin', 'Tudung Datuk K', 'Tudung Datuk Ct', 'Tudung Angkasa atau 'Tudung Sheikh Muszaphar' dan yang terbaru kini 'Tudung Air Mata Nora Danish'. Pastinya mereka semua tersenyum apabila nama mereka dijadikan jenama tudung!

Yang pasti, tudung bawal satu yang pernah popular dengan sulam benang emas, manik hitam berlian di bahagian tepi sahaja, sulam dengan renda, sulam dengan hiasan riben dan berambu di setiap bucu, sulam tampal dan yang menjadi kegilaan kini sulam dengan manik berlian, sulam baldu dengan manik berlian, sulam tudung lipat dan bermacam jenis lagi. Semua fesyen tudung bawal satu ini memang cantik dipakai dan tidak hairanlah betapa ramai wanita bertudung kini lebih suka menjadikan tudung bawal satu ini sebagai pilihan utama untuk dipakai pada hari perkahwinan mereka!



NAZIRA NORAN